kddlogo
kdd3t
BERKAYUH TURUN BUKIT
BERITA HARIAN / IKON 5 JULAI 2008 - Teks oleh Diyanah Anuar

 

 

Sukan berbasikal downhill kegilaan baru

SUKAN berbasikal kini tempatnya bukan lagi di velodrom rakyat ataupun perlumbaan jarak jauh merentas bandar dan desa. Tidak cukup cabaran laluan mendatar atau kecuraman lantai velodrom, pelumba basikal kini beralih kepada acara downhill yang lebih menduga keupayaan mental dan fizikal. Lumrah manusia, kadang-kadang sukakan cabaran getir demi kepuasan. Atas desakan itu, laluan mencabar yang menguji kemahiran sering menjadi pilihan pelumba sukan berbasikal downhill kerana laluan sebegini menjadi kayu pengukur kemampuan mereka. Bagi pelumba yang menetap di sekitar Kuala Lumpur, kawasan berbukit di Taman Rekreasi Lembah Kiara, Taman Tun Dr Ismail menjadi trek pilihan untuk melakukan aktiviti ini pada hujung minggu.

Taman Rekreasi Lembah Kiara terkenal di kalangan komuniti pelumba sukan berbasikal downhill tempatan kerana bentuk muka bumi yang curam, berbonggol-bonggol serta berbatu yang mencabar kemahiran mereka. Ahad lalu, pelumba sukan berbasikal downhill tidak melepaskan peluang menyertai siri ketiga perlumbaan Kiara Downhill Domination Kuala Lumpur (KDD3) yang diadakan di lokasi sama. Hampir 100 pelumba tempatan dan luar negara berkumpul sejak awal pagi di taman rekreasi ini dengan masing-masing membuat persiapan terakhir sebelum sesi seeding (pusingan percubaan) dan akhir berlangsung. Kira-kira jam 11 pagi, acara seeding bermula di mana peserta semua kategori menuruni laluan sambil mengatur strategi bagi mencatat masa terbaik. Pada pusingan seeding inilah, pelumba lazimnya memeriksa semua halangan yang boleh melambatkan perjalanan menuruni bukit serta memikirkan cara terbaik melepasinya. Walaupun hanya pusingan seeding, rata-rata peserta menampakkan kesungguhan untuk memperoleh catatan masa terbaik hingga ada yang awal-awal lagi sudah cedera akibat terjatuh ketika menempuhi halangan. Catatan masa yang diperoleh ketika seeding juga sedikit sebanyak menaikkan semangat pelumba untuk mempamerkan aksi terbaik pada pusingan akhir.

Pusingan akhir KDD3 pula diadakan kira-kira jam tiga petang, bermula dengan kategori hardtail, junior, master, open dan elite. Bermacam ragam dan aksi pelumba dapat disaksikan dalam pusingan akhir ini. Ada pelumba terpaksa berhenti rehat selepas terjatuh di halangan, ada yang dipapah turun kerana mengalami kecederaan serius malah ada juga yang tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana kerosakan teknikal pada basikal yang dikayuh. Bukan itu saja, aksi pintas-memintas juga dilihat apabila pelumba menghampiri garisan penamat. Ada pelumba yang sudah mendekati garisan penamat tiba-tiba dipintas pelumba lain yang meluru laju dari belakang. Seperkara yang menarik, ‘kerusi panas’ diwujudkan silih berganti untuk diduduki pelumba yang mencatat masa terbaik. Sempat beberapa pelumba merasai duduk di kerusi panas ini sehingga muncul pelumba lain yang mengatasi catatan masa mereka. Perlumbaan semakin mencabar apabila memasuki dua kategori terakhir iaitu open dan elite apabila hujan mula membasahi mengakibatkan trek menjadi licin. Ketika ini, pelumba perlu lebih berhati-hati mengawal basikal supaya tidak terjatuh. Saat ditunggu-tunggu pelumba serta ratusan penyokong akhirnya tiba apabila penganjur mengumumkan pemenang setiap kategori.

Juara kategori hardtail siri pertama dan kedua, Mohd Syahid Mohd Yunus mempertahankan kejuaraan dengan catatan masa 4 minit 21 saat. Kategori junior pula dimenangi Mohd Fareez Borhanuddin (3 minit 50 saat), kategori master, Greg Larsen (4 minit 2 saat), kategori open, Alzure Mahshar (3 minit 37 saat) dan kategori elite, Adam Faroze Ahmed (3 minit 29 saat). Aktiviti berbasikal downhill bukanlah sesuatu yang asing bagi Adam Faroze, 20, malah beliau sebelum ini pernah bertanding dalam sukan ini dalam kejohanan Sukan Malaysia (Sukma) beberapa tahun lalu. Adam yang kini menyambung pengajiannya dalam bidang kejuruteraan di United Kingdom (UK) berkata, beliau tetap melakukan aktiviti ini di UK bila berkesempatan.

“Kebetulan, perlumbaan ini diadakan ketika saya berada
di Malaysia kerana cuti musim panas. Jadi, saya tidak lepaskan peluang menyertainya.

“Tujuan utama penyertaan saya bukanlah untuk menang tetapi berseronok dengan aktiviti yang memberi kepuasan ini. Saya tidak begitu yakin untuk menyandang gelaran juara pada mulanya kerana saya terjatuh pada pusingan akhir berbanding perjalanan yang lancar ketika pusingan seeding,” katanya.

Bagi Alzure Mahshar, 32, pula, trek di Taman Rekreasi Lembah Kiara menjadi antara trek kesukaannya kerana pengalaman berbeza diperoleh setiap kali menuruni trek di bukit ini.

“Saya sering berbasikal di sini. Boleh dikatakan, keadaan trek berubah-ubah setiap kali saya melaluinya. Ia mungkin disebabkan cuaca, aktiviti manusia atau mungkin kerana ramai pelumba yang melalui trek di sini. Itu yang menjadikan ia istimewa bagi pelumba downhill kerana pengalaman setiap kali menuruni trek yang sama berbeza.

“Kerana itu saya rasakan alam semula jadi di sini perlu dipelihara sebaik-baiknya. Bukan hanya untuk manfaat penggemar sukan lasak seperti kami ini tetapi juga masyarakat umum yang tahu menghargai keindahan alam semula jadi ini,” kata Alzure.

Pelumba yang berasal dari New Zealand, Greg Larsen, 39, menganggap trek di Taman Rekreasi Lembah Kiara sebagai antara yang terbaik pernah dilaluinya.

Larsen yang mewakili Singapura dalam perlumbaan ini mempunyai 10 tahun pengalaman dalam aktiviti berbasikal dan sering melakukan aktiviti berbasikal terutamanya aktiviti cross-country di New Zealand dan Singapura. Kata Larsen, aktiviti berbasikal cross-country yang sering dilakukannya secara tidak langsung menjadi latihan menghadapi perlumbaan KDD3 ini.

Juara kategori hardtail, Mohd Syahid, 24, yang pernah mencuba pelbagai jenis sukan berbasikal sebelum ini terbuka minat untuk mencuba aktiviti downhill selepas diajak rakan. Mohd Syahid berkata, aktiviti downhill memberikan kepuasan maksimum kerana ia menguji ketangkasan pelumba mengawal basikal menuruni bukit ditambah dengan halangan berbahaya sepanjang laluan.

“Semua ini memerlukan stamina dan kemahiran tinggi serta latihan intensif. Kekuatan fizikal terutama tangan dan juga kaki juga penting kerana ia banyak digunakan ketika mengawal basikal,”

 

bh
SPECIAL THANKS TO:
kshlogo
 
redbull
kdd2t